Sunday 18 March 2012

globalisasi dan pembangunan


JEFRIDAY JOSSWO JAIPIN (BA09110163).
Dengan menggunakan konsep Globalisasi dan Pembangunan, apakah yang boleh dilakukan oleh UMS untuk mengangkat ilmu dan maklumat berlandaskan ilmu geografi mengenai Sabah DAN ALAMNYA. Kaitkan bahan bacaan 2 dan projek laman web/blog kamu merungkai bagaimana idea tersebut boleh menjadi realiti?
Menurut Stutz et al, 2012 globalisasi adalah pengembangan dari segi skop, skala, dan halaju transaksi antarabangsa. Manakala, pembangunan pula merujuk kepada peningkatan kualiti kehidupan manusia dengan menyediakan pekerjaan yang selamat, perkhidmatan perumahan, pemakanan dan kesihatan yang mencukupi, kebersihan air dan udara, pengangkutan yang berpatutan, dan pendidikan.
Dengan berpandukan kepada konsep globalisasi dan pembangunan ini, perkara yang boleh dilakukan oleh UMS untuk mengangkat ilmu dan maklumat berlandaskan ilmu geografi mengenai Sabah dan Alamnya ialah dengan menjayakan satu portal digital khas yang dinamakan sebagai “ilmusabah.com” dan boleh dicapai oleh setiap masyarakat dunia melalui kuasa talian internet yang semakin popular digunakan oleh masyarakat dunia. Ini merupakan satu projek ‘public advocacy’ yang memanfaatkan konsep ilmiah berasaskan epistemologi yang diketengahkan oleh Profesor Ulung Negara, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
Melalui portal khas ini, UMS yang terkenal sebagai pusat kajian di mata dunia juga harus menitikberatkan empat domain menarik mengenai Sabah, Manusia dan Alamnya seperti yang dikatakan oleh profesor ulung negara ini untuk mengangkat ilmu dan maklumat berlandaskan ilmu geografi di negeri Sabah. Antaranya ialah domain kewilayahan geografi, domain sistem masyarakat, domain sistem ekonomi dan domain sistem masyarakat.
Domain pertama ialah domain kewilayahan geografi yang menentukan identiti sesebuah peradaban. Ciri ini menekankan dua faktor utama dalam pembentukan dan perkembangan sesebuah peradaban iaitu faktor manusia dan faktor alam sekitarnya. Aspek yang ditekankan di sini ialah aspek saintifik alamiahnya seperti genetik/ras manusianya, aspek iklim, flora dan fauna, tanah tanih, astronomi dan sebagainya. Sebagai contoh, Sabah yang kaya dengan sumber alamnya khususnya dari sudut biodiversitinya boleh mengangkat negeri ini sebagai pusat pelancongan dunia. Jadi untuk memperkenalkan Sabah di mata dunia penyelidikan dan pembangunan diperlukan. Dari sudut ini, UMS sebagai pusat penyelidikan yang mempunyai pakar-pakar dalam bidang berkaitan aspek ini boleh membangunkan penyelidikan. Hasilnya banyak penyelidikan akan diterbitkan di negeri Sabah ini. Dan dengan menggunakan portal khas “ilmusabah.com” dengan bantuan UMS yang mampu memuatkan banyak hasil-hasil terbitan penyelidikan yang dilakukan maka maklumat akan tersebar luas di seluruh dunia mengenai negeri Sabah.
Domain yang kedua ialah domain sistem masyarakat. Menurut Castells, perkembangan teknologi maklumat meluaskan lagi penguasaan ciri hidup bandar ke wilayah yang jauh dari bandar, atau sebaliknya mendekatkan cara hidup pedalaman dengan gaya hidup bandar, seperti yang berlaku terhadap masyarakat tani pendalaman Chiapas yang memberontak di Mexico dengan dibantu oleh kemampuan mereka menggunakan internet. Jadi dalam konteks negeri Sabah, yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat memerlukan peranan UMS dalam melakukan penyelidikan terhadap sistem masyarakat di negeri ini. Kajian mengenai masyarakat ini penting untuk memperkenalkan keunikan negeri Sabah sebagai negeri yang mempunyai pelbagai masyarakat yang datang dari pelbagai kaum, agama dan bangsa kepada dunia di luar sana. Kajian ini boleh mengangkat Sabah dan alamnya dengan mengumpul kajian ini dalam portal yang disarankan.
Domain yang ketiga ialah domain sistem ekonomi. Setiap peradaban dan masyarakat bergantung pada keadaan ekonomi dan lain-lain. Jadi di Sabah, sistem ekonominya masih wujud apa yang dipanggil dalam pengajian tani fenomena ‘persistence peasant’ yang bermaksud sebahagian besar penduduk biarpun terlibat dalam cash economy, tetapi bentuknya adalah bersifat saradiri. Bagi menghadapi era globalisasi dan pembangunan, Sabah harus memperbaiki sistem ekonominya. Ini bererti UMS diperlukan untuk melaksanakan kajian ekonomi yang komprehensif mengenai Sabah. Dan yang lebih penting ialah kajian mengenai ekonomi Sabah diketuai oleh ahli ekonomi daripada UMS. Melalui kajian ini dapat mengangkat Sabah di mata dunia dari segi ekonomi khususnya.
Domain keempat ialah sistem pemikiran. Domain ini penting untuk mengangkat Sabah di mata dunia kerana menurut sarjana dalam bidang pengajian falsafah dan sejarah intelektual dunia menyatakan bahawa pengaruh collective psychology atau pembinaan psychic unity dalam sesebuah peradaban membantuk worldview sesuatu peradaban itu. Di mana sistem pemikiran dalam sesuatu peradaban terdiri daripada tiga sudut iaitu kosmologi dan spirituality, tradisi intelektual, dan aturan sosial. Dalam konteks ini kajian bahasa dengan berlandaskan disiplin linguistiks sangat penting. Di sisi ini, UMS boleh memainkan peranan penting dengan menjalankan kajian supaya bahasa yang ada di Sabah sentiasa dipelihara mengikut arus pembangunan dan globalisasi. Melalui kajian ini sistem pemikiran di Sabah serta idea dan simbol yang dominannya boleh dikupas dengan lebih mantap. Selain itu, penerokaan sistem kepercayaan peribumi dan juga pertembungan dengan agama-agama besar dunia, seperti Kristian dan Islam memerlukan penelitian jauh lebih mendalam daripada apa yang wujud kini. Di sini kajian yang dijalankan oleh UMS penting bagi mendalami selok belok bagi sesebuah agama supaya keamanan dan ketenteraman masyarakat di sini yang terdiri daripada pelbagai agama dapat dipupuk dan diteruskan.
Oleh itu, langkah konkrit yang boleh dilakukan oleh UMS untuk mengangkat kualiti ilmu dan maklumat berlandaskan bidang sains sosial dan kemanusiaan, mengenai ‘Sabah, Manusia dan Alamnya ialah mendirikan satu portal digital khas iaitu ‘ilmusabah.com’. Di samping itu juga pengutamaan kepada “tapak empat domain” iaitu domain kewilayahan geografi, domain sistem masyarakat, domain sistem ekonomi dan domain sistem pemikiran harus ada dalam portal digital tersebut untuk mengangkat Sabah dan UMS di mata dunia.